ORGANISASI
DEFINISI ORGANISASI
Organisasi dapat didefinisikan sebagai satu unit sosial yang terdiri daripada manusia yang bekerjasama dan saling bergantung antara satu dengan lain bagi mencapai matlamat individu, kumpulan, dan organisasi. Definisi ini menjelaskan unsur-unsur yang perlu ada di dalam sesebuah organisasi: organisasi sebagai satu unit sosial, penyatuan usaha, dan hubungan antara seorang individu dengan individu yang lain.
Organisasi merupakan unit sosial yang bermaksud ia mempunyai beberapa orang pekerja yang telah diberi peranan tertentu untuk menjalankan sesuatu tugas. Mereka perlu bekerjasama dan berhubung antara satu dengan lain bagi menyiapkan sesuatu tugas itu. Sekiranya mereka ini menjalankan tugas tanpa memerlukan perkhidmatan dan kerjasama daripada pihak lain, sudah tentu tugas yang dijalankan itu tidak dapat disiapkan seperti yang dikehendaki sama ada dari segi masa, kualiti, kuantiti, dan penentuan-penentuan lainnya.
Sesebuah organisasi memerlukan pekerja yang menyatupadukan usaha mereka supaya mencapai matlamat yang dikehendaki. Sekiranya tidak ada perpaduan di kalangan pekerja, sudah tentu organisasi itu tidak dapat menjalankan aktivitinya dengan berkesan dan sempurna. Keadaan organisasi akan menjadi kucar-kacir tanpa sebarang haluan yang tertentu. Penyatuan usaha hendaklah wujud di dalam sesebuah organisasi bagi menjamin pencapaian yang telah disenaraikan. Hubungan di kalangan kakitangan dapat menjamin organisasi itu bergerak dengan sempurna, tersusun dan berkesan. Penyelarasan melalui peraturan dan prosedur yang dibuat dapat meningkatkan hubungan antara satu fungsi dengan satu fungsi yang lain dan antara individu dengan individu yang lain.
CIRI-CIRI ORGANISASI
Sesebuah organisasi yang telah dibentuk akan melambangkan identitinya yang tersendiri. Misalnya, sebuah universiti seharusnya melambangkan tempat untuk menimba ilmu, sebagai sebuah pusat penyelidikan, dan juga sebagai sebuah institusi yang memberi perkhidmatan dan sumbangan kepada masyarakat sama ada dalam bentuk bimbingan atau khidmat nasihat, dan pengajaran dan pembelajaran lain. Untuk mencerminkan identiti atau nilai-nilai tinggi sebagai sebuah menara gading, universiti hendaklah memainkan peranan yang diharapkan oleh masyarakat kampus khususnya dan masyarakat awam amnya. Dengan demikian fungsi sesebuah universiti itu didapati berbeza dengan organisasi-organisasi lain yang mempunyai objektif tertentu.
Di dalam sesebuah organisasi, sama ada organisasi kecil atau besar, ia mempunyai hierarki atau tingkat autoriti. Jika dibandingkan antara kedua-dua organisasi kecil dan besar, sudah tentu ia berbeza dari segi bilangan hierarki (tingkat) aktiviti dan bilangan kakitangan pengurusan pada setiap tingkat. Misalnya, organisasi besar mungkin mempunyai lebih daripada tiga tingkat autoriti dan setiap tingkat autoriti itu akan mempunyai lebih daripada tiga atau empat pegawai yang bertanggung-jawab kepada ketua-ketua mereka yang berada pada peringkat yang lebih tinggi lagi.
Di dalam sesebuah organisasi, terdapat pembahagian kerja berdasarkan jenis pekerjaan atau bahagian yang diwujudkan. Pada umumnya, organisasi pembuatan mewujudkan bahagian-bahagian seperti bahagian pengeluaran dan pentadbiran. Di bahagian pentadbiran, terdapat beberapa unit lain seperti personel, pemasaran, dan kewangan. Organisasi yang mempunyai tig bahagian itu beroperasi secara pembahagian kerja mengikut tanggungjawab yang tertentu.
Bagi menentukan aktiviti organisasi supaya berjalan dengan lebih teratur seperti yang dirancangkan, ia memerlukan sistem pengawasan, penyelarasan dan pengawalan ke atas perjalanan aktiviti. Dengan demikian, di dalam sesebuah organisasi, peraturan, dasar, prosedur, dan sistem hubungan hendaklah dijelaskan kepada kakitangan dengan jelas dan nyata. Keempat-empat ciri yang disebutkan di atas hendaklah wujud di dalam sesebuah organisasi. Penentuan sama ada organisasi itu berkesan, efisien atau tidak, bergantung kepada sejauh mana keempat-empat ciri itu diseleng-garakan, disusun, dan diamalkan.
PENGURUSAN
DEFINISI PENGURUSAN
Apabila organisasi telah diwujudkan, masalah yang akan timbul ialah bagaimana organisasi itu harus diuruskan dengan sempurna, berkesan dan mencapai matlamat yang dirancangkan. Tanpa pengurusan yang betul, pelbagai masalah mungkin akan timbul, baik dari segi kewangan, pemprosesan, dan inventori hinggalah kepada masalah peribadi di kalangan para pekerja.
Kita pernah mendengar dari media massa tentang beberapa organisasi perniagaan khususnya, yang telah gagal bukan semata-mata kerana masalah persaingan tetapi juga disebabkan oleh pergolakan di dalam organisasi itu sendiri seperti tidak ada persefahaman antara pihak atasan dengan peringkat bawahan, perancangan dan ramalan yang tidak tepat, pembaziran sumber atau penyusunan struktur yang mengelirukan.
Pengurusan, pada amnya dapat didefinisikan sebagai proses perancangan, penyusunan, pengarahan, dan pengawalan usaha ahli-ahli organisasi dan menggunakan semua sumber organisasi untuk mencapai matlamat organisasi. Pengurusan juga didefiniskan sebagai proses pengarahan, penyelarasan, dan pengaruh ke atas operasi organisasi untuk mencapai matlamat yang dikehendaki dan prestasi sepenuhnya.
Definisi di atas, walaupun mempunyai sedikit perbezaan dari segi bilangan dan jenis fungsi pengurusan, tetapi kedua-dua definisi itu mengandungi perkataan "proses" dan "matlamat". Ini bermakna, dua aspek penting di dalam pengurusan iaitu pengurusan sebagai proses dan mencapai matlamat organisasi. Pengurusan sebagai proses bermaksud menjalankan kerja secara sistematik serta memerlukan hubungan tertentu antara satu aktiviti dengan satu aktiviti yang lain. Pengurusan bagi mencapai matlamat organisasi pula bermaksud apabila aktiviti organisasi itu berjalan dengan teratur dan berhubung atau membantu antara satu dengan lain, maka matlamat organisasi itu dapat dicapai. Matlamat organisasi dapat berbentuk kualitatif (subjektif) atau kuantitatif (objektif).
PROSES PENGURUSAN
Proses atau fungsi pengurusan dapat dibahagikan kepada beberapa fungsi bergantung kepada cara kita mengelaskan fungsi-fungsi perancangan, penyusunan, penyelarasan, penstafan, dan pengawalan. Pada amnya, fungsi pengurusan dibahagikan kepada empat sahaja, iaitu perancangan, penyusunan, pengarahan, dan pengawalan.
Perancangan
ebelum pihak pengurusan memulakan aktiviti organisasi, perncangan hendaklah dibuat terlebih dahulu. Pada peringkat perancangan, perkara yang perlu dipersoalkan adalah seperti berikut:
· Tujuan dan objektif: Ini termasuk mengenal pasti perkara yang ingin dicapai oleh sesebuah organisasi berdasarkan matlamat penubuhan organisasi tersebut dan prestasi yang diinginkan seperti kadar pertumbuhan organisasi atau peratusan keuntungan dan lain-lain.
· Strategi organisasi: Apabila matlamat dan tujuan telah ditakrifkan dengan jelas, organisasi perlu mencari jalan (strategi) untuk mencapai matlamat dan tujuan seperti yang diharapkan itu. Di dalam strategi, pihak pengurusan akan membincangkan perkara seperti strategi pemasaran yang meliputi perletakan harga, perluasan pasaran atau perbezaan barangan agar organisasi itu dapat bersaing dengan pihak luar.
· Langkah seterusnya, pihak pengurusan harus mengatur program atau projek mengikut strategi yang berasaskan matlamat organisasi.
Penyusunan
Penyusunan melibatkan kerja menstruktur organisasi dan penstafan (proses pengambilan kakitangan). Struktur organisasi menunjukkan pembahagian kerja mengikut aktiviti (pemasaran, kewangan, pemprosesan dan lain-lain), tingkat (hierarki) autoriti, penyelarasan melalui peraturan dan dasar serta prosedur yang dibuat. Penstafan meliputi perancangan sumber manusia, pengambilan dan pemilihan kakitangan, orientasi dan latihan, penilaian prestasi, sistem pampasan (gaji, upah, dan faedah), program peningkatan produktiviti dan kualiti, program keselamatan dan kesihatan kakitangan, dan program kebajikan dan perkhidmatan kakitangan.
Pengarahan
Pengarahan merupakan fungsi penting untuk menjamin aktiviti organisasi berjalan dengan teratur dan sempurna dalam suasana yang harmoni. Untuk mencapai matlamat ini faktor-faktor motivasi, kepimpinan, dan sistem komunikasi perlu diberi perhatian oleh pihak pengurusan.
Pengawalan
Pengawalan merupakan fungsi terakhir untuk menentukan bahawa prestasi organisasi telah dicapai mengikut perancangan; masalah dalam penyusunan dikenal pasti dan langkah tertentu diambil; faktor-faktor di dalam organisasi, keinginan dan sifat kakitangan yang ada hubungan dengan prestasi dan tingkah laku perlu diberi perhatian dan diawasi.
KESIHATAN
Definisi kesihatan yang diutarakan oleh Badan Kesihatan Sedunia (WHO) adalah: Kesihatan ialah satu tahap atau keadaan di mana seseorang individu itu mempunyai kesejahteraan yang sempurna dari segi fizikal, mental dan sosial dan bukan semata-mata bebas dari penyakit atau tidak berdaya.
Takrifan ini sebenarnya melibatkan dua aspek penting dalam kesihatan iaitu aspek negatif (berpenyakit, tidak sihat, cedera, cacat atau tidak berdaya/lemah) dan aspek positif (kesejahteraan dari segi fizikal, mental dan sosial). Dalam kehidupan sehari-hari, individu, masyarakat atau ahli profesional sering menekankan aspek negatif dan mengabaikan aspek positif. Begitu juga dari aspek promosi kesihatan, kita sering menekankan aspek pencegahan penyakit dan kurang mempromosikan dimensi kesihatan yang positif dan menjurus ke arah kesejahteraan hidup.
Perbezaan di antara kedua-dua aspek kesihatan ini amat penting kerana ia dapat memastikan aktiviti promosi kesihatan adalah berkesan dan mencapai matlamatnya. Aktiviti promosi kesihatan seharusnya cuba mencegah penyakit atau keadaan tidak sihat dan pada masa yang sama ia harus mampu menggalakkan kesihatan yang positif pada individu atau masyarakat. Matlamat keseluruhan promosi kesihatan ialah mencapai keseimbangan di antara penggalak kesejahteraan dan pencegahan keadaan tidak sihat dari segi fizikal, mental dan sosial.
Promosi Kesihatan
Aspek promosi kesihatan telah mula diperkatakan sejak dua abad lalu tetapi hanya mendapat perhatian yang serius mulai tahun 1980an. Ia merupakan satu proses atau gerakan radikal yang menekankan kepada aspek sosial dan ekonomi. Aspek promosi kesihatan telah menonjolkan aspek kesejahteran kehidupan individu sebagai perkara asas dalam kesihatan masyarakat. Setiap individu, para profesional dan bukan profesional serta bukan agensi kerajaan atau kerajaan mempunyai peranan masing-masing dalam aktiviti promosi kesihatan.
Selain itu, dalam promosi kesihatan perlu menekankan aspek kesihatan yang positif. Kebanyakan individu masa kini mengambil tindakan positif untuk menjaga kesihatan dan bukan semata-mata hanya memberi respon terhadap tanda penyakit yang mereka alami. Promosi kesihatan turut melibatkan pelbagai kaedah yang memudahkan individu mengekal dan menjaga kesihatan. Promosi kesihatan boleh didefinisikan sebagai tindakan yang menjurus kepada pembaikan atau perlindungan kesihatan menerusi perubahan tingkah laku, biologi, sosio-ekonomi dan persekitaran. Promosi kesihatan juga melibatkan bukan sahaja aktiviti penyebaran maklumat tetapi juga membabitkan perubahan untuk mempengaruhi aktiviti-aktiviti individu, kumpulan, masyarakat, pihak majikan dan pihak berkuasa tempatan.
KERTAS KERJA
Program Pendidkan Sains Sukan Universiti Pendidikan Sultan Idris menawarkan kursus QSK 2033 Organisasi Pentadbiran Pendidikan Kesihatan kepada pelajar major Sains Sukan. Pada semester ini jumlah pelajar yang mengikuti kursus ini adalah seramai 19 orang pelajar. Kursus tiga jam kredit ini merangkumi teori dan amali. Kerja amali ini akan diadakan pada 25 September 2010 di Gimnasium bagi menganjurkan “Program Healthy Life Style”. Bagi para pelajar yang akan mengikuti program ini, mereka akan melalui pelbagai pengalaman yang berfaedah yang dapat dijadikan sebagai panduan di masa hadapan. Di samping itu para pelajar juga akan dapat membiasakan diri dalam mengendalikan sesuatu program. Ia juga bertujuan sebagai satu persiapan penting sebelum bergelar pendidik yang sebenar suatu hari nanti. Pada masa yang sama ia bertujuan untuk mempromosikan kesihatan di kalangan pelajar universiti seterusnya mempromosikan kesihatan di kalangan masyarakat.
Program ini juga bertujuan untuk menambahkan keyakinan dan motivasikan diri dalam jiwa setiap pelajar yang mengikuti program ini. Program ini berbentuk pembelajaran melalui pengalaman dan berkonsepkan jati diri demi meningkatkan tahap bekerjasama yang tinggi di kalangan para pelajar. Para pelajar juga akan didedahkan dengan pelbagai kaedah dan cara semasa berhadapan dengan keadaan sesuatu program dan orang ramai. Melalui program ini diharap agar mahasiswa dan mahasiswi dapat memperolehi seberapa banyak pengalaman penting yang akan digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran didalam kelas apabila bergelar guru sebenar suatu hari nanti. Selain itu tujuan utama program ini adalah bagi mempromosikan kesihatan di kalangan masyarakat.
Rasional
Program seumpama ini dijalankan untuk mempromosikan kesihatan di kalangan pelajar universiti dan memupuk semangat kerjasama dan tolong-menolong di kalangan pelajar. Program ini juga dapat merapatkan lagi silaturrahim antara pelajar sendiri, masyarakat dan pihak-pihak yang terlibat.
Program yang dijalankan ini adalah satu sukatan pelajaran bagi pelajar-pelajar semester 5 yang mengambil subjek Organisasi Pentadbiran Pendidikan Kesihatan (QSK 2033). Di samping itu juga, program ini juga merupakan proses pembelajaran melalui pengalaman yang harus diambil kira oleh para pelajar semasa dalam program ini. Oleh itu para pelajar haruslah mempelajari setiap aspek tidak kira dari segi kerohanian atau jasmani.
Program ini diadakan untuk menjadikan seorang pelajar itu lebih mendalami cara pengurusan sesuatu program. Hal ini kerana sesutau program yang dianjurkan mempunyai kelainannya untuk melaksanakan sesuatu program.
Kesimpulannya, dengan menyertai program ini para pelajar akan memperoleh banyak pengalaman dan pengetahuan yang boleh dipraktikkan dalam kehidupan seharian apabila selesai dari program ini.
Objektif
Objektif bagi program ini adalah seperti berikut:
i. Mempromosikan kesihatan di kalangan pelajar universiti.
ii. Melahirkan pelajar Sains Sukan yang berketrampilan dan berkebolehan dalam pelbagai bidang.
iii. Mengeratkan silaturrahim di antara mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris.
iv. Mewujudkan sikap prihatin terhadap masyarakat.
v. Memupuk kepimpinan yang berkualiti dikalangan pelajar.
vi. Memupuk semangat kerjasama kumpulan diantara satu dengan yang lain.
vii. Memperkenalkan Fakulti Sains Sukan kepada masyarakat luar.
viii. Melatih pelajar agar dapat melakukan tugas dengan sistematik dan tanggungjawab.
ix. Mendapat kejayaan yang cemerlang dalam Latihan Akedemik ini, dengan memperolehi keputusan penuh bagi kursus QSK 2033, Organisasi Pentadbiran Pendidikan Kesihatan
Maklumat Perlaksanaan
Nama Program : Program Healthy Life Style
Penganjur : Pelajar Semester 5 Organisasi Pentadbiran Pendidikan
Kesihatan
Tarikh : 25 September 2010
Tempat : Gimnasium UPSI
Golongan Sasaran : Mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris
Jumlah Penganjur : 4 orang
Jumlah Pensyarah : 1 orang
Carta Organisasi
PENASIHAT |
Dr. Abd. Rahim bin Mohd shariff |
(Pensyarah) |
PENGARAH PROJEK |
Nuriman Bin Hashim |
TIMBALAN PENGARAH PROJEK |
Muhammad Syazrin Bin Buamin |
SETIAUSAHA PROJEK |
Mohd Hafiz Amirul Bin Amat |
BENDAHARI PROJEK |
Mohd Fuad Bin Hassan |
BIRO MAKANAN & MINUMAN |
Mohammad Syazrin Bin Buamin |
BIRO PENDAFTARAN & CENDERAHATI |
Mohd Hafiz Amirul Bin Amat |
BIRO PUBLISITI & TEMPAT |
Nuriman Bin Hashim |
BIRO TEKNIKAL |
Mohd Fuad Bin Hassan |
BIRO FOTOGRAFI |
Mohammad Syazrin Bin Buamin |
Visi
Menerajui pembangunan pelajar dan masyarakat dalam meningkatkan minat senaman dan aktiviti fizikal dalam kehidupan.
Misi
Membina masyarakat yang sihat melalui Program Healthy Life Style.
Objektif
Untuk membina masyarakat yang mementingkan kesihatan dalam kehidupan, berdisiplin, berakhlak tinggi dan begerak maju dalam bidang social dan ekonomi untuk membina masyarakat yang sihat. Cergas sepanjang masa di dalam kehidupan.
Teras Strategik Program | ||||||
|
Pengenalan
Gaya hidup sedentari adalah corak kehidupan yang dilalui tanpa atau kurang melakukan aktiviti fizikal. Kehidupan sebegini boleh memudaratkan kesihatan individu. Terdapat pelbagai kajian yang dijalankan dan telah terbukti bahawa tidak atau kurang melakukan aktiviti fizikal dikaitkan dengan risiko mendapatkan penyakit kronik seperti penyakit kardiovaskular, diabetes dan obesiti atau kegemukan. Juga, telah terbukti bahawa cara hidup sedentari boleh meningkatkan risiko mendapat kanser usus, kanser payu dara, penyakit jantung koronari, strok, tekanan darah tinggi, osteoporosis (kereputan tulang), kemurungan dan keresahan.
Di Malaysia, penyakit jantung koronari merupakan pembunuh nombor satu. Bagi penyakit diabetes, mengikut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Malaysia berada di tempat keempat tertinggi di Asia dengan 8% daripada penduduknya menghidap penyakit tersebut. Laporan juga menunjukkan hampir 18% daripada penduduk dewasa wanita dan 15% penduduk dewasa lelaki di negara ini memiliki berlebihan berat badan. Antara puncanya, ialah tidak mengamalkan cara hidup yang sihat terutamanya dari segi mengawal makanan/diet dan melakukan aktiviti fizikal.
mahukah anda menjadi seperti ini?? |
gaya pemakanan yang tidak seimbang |
Laporan Kajian Kesihatan dan Morbiditi ll (1996) menunjukkan lebih daripada 70% penduduk dewasa negara ini tidak melakukan senaman dan tidak aktif dari segi fizikal. Gejala ini jika tidak ditangani akan menimbulkan masalah kesihatan awam yang serius. Menyedari hakikat ini, Kementerian Kesihatan Malaysia telah melancarkan Kempen Cara Hidup Sihat sebagai antara langkah untuk mengatasi masalah ini. Sehubungan itu, salah satu daripada komponen yang diberi penekanan khusus dalam kempen ini bermula sejak tahun 1998 ialah melakukan senaman dan
aktiviti fizikal.
Objektif
i) Senaman dan aktiviti fizikal.
ii) Faedah melakukan senaman dan aktiviti fizikal secara berkala.
iii) Jenis-jenis senaman dan aktiviti fizikal.
iv) Kepentingan senaman dan aktiviti fizikal dalam pencegahan penyakit-penyakit kronik.
Senaman
Senaman ialah pergerakan badan yang dilakukan berulang-kali secara terancang dan berstruktur bertujuan untuk meningkatkan atau mengekalkan satu atau lebih komponen kecergasan fizikal. Senaman melibatkan penggunaan dan pengeluaran tenaga yang banyak. Contoh senaman ialah seperti berlari, berjoging, berjalan, berenang, lompat tali dan berbasikal.
Aktiviti Fizikal
Aktiviti fizikal ialah pergerakan yang dihasilkan oleh pengecutan otot yang dapat membakar kalori secara berlebihan. Aktiviti fizikal seperti kerja-kerja yang sering dilakukan di rumah. Contohnya, menyapu atau mop lantai, mengemas rumah, membasuh kereta, berkebun di halaman rumah atau menaiki tangga. Klien perlu sedar akan kepentingan mengamalkan senaman atau melakukan aktiviti fizikal yang dapat disesuaikan dalam jadual harian mereka.
Jumlah minima aktiviti fizikal yang perlu dilakukan untuk mendapat faedah kesihatan yang dikehendak ialah dengan:-
• Melakukan aktiviti yang sederhana kuatnya (intensiti), sekurang-kurangnya 30 minit sehari
secara terkumpul untuk 5 hari atau lebih dalam seminggu; atau
• Melakukan aktiviti yang lasak sekurang-kurangnya 30 minit setiap sesi, untuk 3 hingga 5 hari
seminggu.
Faedah senaman dan aktiviti fizikal
Melakukan aktiviti secara berkala boleh meningkatkan taraf kesihatan. Kesannya meliputi bukan sahaja dari segi fizikal bahkan juga psikologi dan emosi. Antara faedahnya ialah:
a) Meningkatkan kecergasan jantung, paru-paru dan memperbaiki system peredaran darah
dengan
• Menguatkan otot jantung dan meningkatkan fungsinya.
• Membantu mengawal tekanan darah tinggi.
• Mengurangkan risiko serangan jantung dan strok.
• Meningkatkan peredaran darah di seluruh badan.
• Meningkatkan fungsi paru-paru dan penggunaan oksigen.
b) Meningkatkan kecepatan pergerakan dan kelembutan badan.
• Mengurangkan kecederaan otot dan sendi serta masalah sakit belakang / pinggang.
• Meningkatkan prestasi dalam sukan.
c) Memperbaiki tonus dan postur.
• Menambahkan keterampilan diri dari segi fizikal.
• Mengurangkan risiko sakit belakang / pinggang.
d) Menambahkan kekuatan dan daya tahan otot.
• Otot menjadi lebih kuat dan dapat melakukan sesuatu pergerakan dengan lebih baik dan
lebih lama, seperti mengangkat barang yang berat.
e) Membantu mengawal berat badan dengan lebih baik dan dapat mencegah obesity atau
kegemukan.
• Senaman secara tetap dan teratur di samping amalan pemakanan yang sihat dapat membantu
mengawal berat badan dan mencegah kegemukan.
• Senaman membantu membakar lemak badan dan menjadikan otot lebih kuat.
KEMAHIRAN MELAKUKAN SENAMAN DAN AKTIVITI FIZIKAL
Objektif
i) Meningkatkan pengetahuan dari segi persediaan yang perlu dilakukan sebelum memulakan
aktiviti senaman
Panduan Persediaan Sebelum Senaman
i) Kesediaan Kesihatan
Klien perlu mempunyai kesediaan kesihatan yang baik dan badan yang sihat sebelum memulakan program/aktiviti senaman. Seeloknya, sebelum memulakan sebarang aktiviti fizikal, dapatkan pemeriksaan doktor jika klien:-
a) Berumur 35 tahun ke atas.
b) Lama tidak bersenam.
c) Berlebihan berat badan.
d) Mengalami pergerakan fizikal yang terhad.
e) Dalam rawatan dan masih mengambil ubat-ubatan.
f) Mendapat kecederaan atau kerosakan organ dalam badan.
g) Mengalami tekanan darah tinggi dan tidak mendapat rawatan.
h) Menghadapi masalah tulang dan sendi.
i) Mempunyai sejarah keluarga yang menghidap penyakit jantung koronari (seperti serangan
jantung)
j) Merokok.
Pakar sains sukan telah membahagikan mereka yang ingin memulakan program aktiviti fizikal ini kepada 3 kategori:-
a) Berisiko Rendah
Golongan muda iaitu lelaki yang berumur kurang daripada 45 tahun dan wanita kurang daripada 55 tahun yang tidak mengalami simptom penyakit jantung dan memiliki tidak lebih daripada satu faktor risiko seperti merokok, tekanan darah tinggi, memiliki sejarah keluarga yang menghidap penyakit jantung, tinggi kandungan kolesterol dalam darah, paras glukosa darah tidak normal, kegemukan dan menjalani kehidupan yang sedentari. Golongan ini boleh melakukan aktiviti fizikal yang sederhana atau lasak tanpa memerlukan pemeriksaan perubatan atau ujian senaman klinikal.
b) Berisiko Sederhana
Golongan ini merupakan klien yang tidak memiliki sebarang symptom penyakit jantung tetapi berumur lebih daripada 45 tahun bagi lelaki dan 55 tahun ke atas bagi wanita atau mereka yang memiliki 2 dan lebih daripada faktor risiko di atas. Kumpulan ini boleh melakukan aktiviti fizikal yang sederhana dan tidak memerlukan ujian senaman atau pemeriksaan perubatan, tetapi jika mereka ingin melakukan aktiviti yang lasak adalah disarankan menjalani ujian dan pemeriksaan tersebut.
c) Berisiko Tinggi
Golongan ini terdiri daripada klien yang memiliki satu atau lebih symptom seperti sakit dada, tengkok atau dagu akibat kekurangan bekalan oksigen ke jantung, mudah semput ketika berehat atau semasa melakukan senaman yang sederhana, pitam, pening, denyutan jantung yang tidak normal, mudah letih atau lesu dan sembab. Mereka perlu menjalani keduadua ujian senaman dan pemeriksaan perubatan. Apabila memulakan program, jika mengalami kecederaan atau jatuh sakit, mereka perlu mendapatkan nasihat doktor, tanpa mengira umur atau keadaan kesihatan. Perkara penting yang perlu diberi perhatian adalah klien hendaklah peka serta tahu tahap kesihatan sendiri sebelum memulakan sesuatu aktiviti senaman. Klien tidak seharusnya mengalami kelesuan, kesakitan atau semput. Bersenam secara berlebihan serta sikap kurang bersabar boleh mengakibatkan kecederaan dan boleh memudaratkan mereka. Faktor ini boleh membantutkan segala usaha klien.
ii) Pakaian sukan yang sesuai
Jenis pakaian yang dipakai untuk bersenam haruslah sesuai dengan aktiviti senaman yang hendak dilakukan. Pakaian tersebut perlulah selesa, tidak terlalu ketat dan tidak menyekat pergerakan badan khususnya sendi. Sekalipun keterampilan itu penting tetapi keselesaan lebih penting. Pakaian yang dipakai tidak seharusnya menyekat pergerakan klien. Pakaian sukan yang disyorkan ialah jenis fabrik yang diperbuat daripada kapas yang dapat menyerap dan menyejat peluh. Memakai jaket atau wind breaker tidak digalakkan kerana ini boleh memerangkap peluh dan menyekat kesan penyejukan udara.
iii) Kasut sukan yang betul
Memakai kasut sukan yang betul adalah tersangat penting. Sekalipun memakai pakaian yang tidak sesuai masih boleh bersenam, tetapi jika memakai kasut yang salah, kesan jangka pendek dan jangka panjang boleh memudaratkan. Jangan membeli kasut yang terlalu ketat atau bersaiz kecil kerana ini boleh menyebabkan kaki melecur atau lepuh semasa bersenam seperti berjalan kaki atau berjoging.
Petua berikut dapat membantu pelajar:-
• Pilih kasut yang selesa dan cukup padan.
• Waktu yang sesuai untuk membeli kasut ialah pada waktu petang setelah sehari suntuk
bergerak kerana pergerakan ini menjadikan kaki kembang sedikit daripada biasa.
• Cuba 4 atau 5 pasang kasut. Pakai dan ikat talinya sepadat yang boleh. Cuba berjalan untuk
seminit dua. Pastikan ibu jari kaki dapat digerakkan dengan bebas.
• Harus ada ruang seluas satu setengah ibu jari tangan, antara ibu jari kaki dengan bahagian
dalam hujung kasut.
• Pegang kasut di bahagian tapak kaki dan cuba lipatkan, kasut yang baik dan sesuai untuk
berjoging atau berjalan mesti boleh dilenturkan.
• Pastikan buku lali kaki tidak termasuk di dalam kasut.
• Sebelum membeli, periksa kualiti kasut dengan melakukan ujian tumit tegak (vertical heel test).
Letak kasut ke atas kaunter kedai kasut dan perhati kasut dari belakangnya pada paras mata.
Pastikan pelapik tumit lurus, tidak kembang atau condong dan bahagian pelapik bersambung
baik dengan bahagian atas.
iv) Pakai sarung kaki yang baik
Pakai sarung kaki atau stoking yang lembut dan gantikan setiap kali bersenam. Stoking yang basah atau lembab boleh mendatangkan masalah kulit pada kaki seperti makan air atau athlete’s foot. Guna stoking yang diperbuat daripada campuran kapas dan polyester atau acrylic yang dapat memastikan kaki sentiasa kering dan terlindung daripada lepuh.
v) Elemen asas persediaan senaman
Terdapat 4 elemen asas yang perlu dilakukan dalam sebarang program aktiviti fizikal iaitu memanaskan badan, regangan, melakukan aktiviti aerobik dan menyejukkan badan.
a) Memanaskan badan
Tindakan ini akan menyediakan badan untuk bersenam tanpa menghadapi ancaman bahaya akibat kecederaan dan kerengsaan. Luangkan masa antara 5 hingga 10 minit melakukan senaman yang boleh meningkat suhu badan, mempercepatkan denyutan jantung, melunturkan otot, sendi dan ligamen yang kejap serta mampat dan meningkatkan kelenturan atau kelembutan. Aktiviti badan dapat membantu klien melakukan sesuatu gerakan atau aktiviti fizikal dengan mudah dan bebas. Aktiviti memanaskan badan ini boleh dilakukan dalam bentuk berjoging, berlari setempat atau berjalan dengan pantas. Pilih gerak senaman yang dapat meningkatkan denyutan jantung dan sistem pengaliran darah secara beransur-ansur. Setelah pecah peluh, otot-otot telah mula memanjang maka regangan bolehlah dimulakan.
b) Melakukan regangan
Regangan penting dilakukan untuk menyediakan badan kepada aktiviti fizikal yang lebih lasak, serta memudahkan aktiviti tersebut dilakukan dan seterusnya membawa kepada peningkatan prestasi. Cara melakukan regangan:
• Lakukan senaman yang dapat meregangkan otot dan melonggarkan semua sendi tanpa
melampaui julat pergerakan.
• Regangkan semua bahagian badan dan kumpulan otot termasuk leher, bahu, sendi tangan,
pinggang dan kaki (termasuk paha, betis dan lutut).
• Setiap regangan tidak seharusnya mendatangkan kesakitan yang berpanjangan. Regangkan otot
sehingga berasa kurang selesa.
• Elakkan daripada meregang melampaui keupayaan ligamen dan kapsul yang mengelilingi
sendi.
• Berhati-hati apabila meregangkan bahagian bawah belakang dan leher. Regangan yang
membebankan tulang belakang dan cakeranya boleh memudaratkan.
• Regangan yang dilakukan ketika duduk lebih baik daripada berdiri, kerana kedudukan ini boleh
mengelak daripada tekanan ke bahagian bawah belakang dan dapat mengurangkan kecederaan
belakang.
• Regangkan otot-otot yang ketat, lemah dan kendur.
• Lakukan regangan secara perlahan-lahan dan terkawal.
• Ketika melakukan regangan jangan menahan nafas. Bernafaslah seperti biasa.
c) Aktiviti aerobik
Sebelum melakukan sebarang aktiviti ini, klien perlu memakai pakaian yang sesuai dan selesa yang tidak menyekat pergerakan. Gunakan kasut yang sesuai dengan aktiviti yang dipilih bagi mengelakkan kecederaan kaki dan lutut. Fasa ini meliputi perkara-perkara berikut:-
• Lakukan fasa ini sekurang-kurangnya 30 minit untuk sesuatu sesi.
• Pilih aktiviti yang digemari, sesuai dengan waktu dan pelbagaikan bagi mengelakkan kebosanan.
• Untuk mendapatkan kesan yang maksima, patuhi prinsip-prinsip senaman.
d) Menyejukkan badan
Setelah selesai menjalankan aktiviti fizikal, badan perlu disejukkan dengan memperlahankan rentak senaman dan menyediakan badan untuk rehat dan relaks. Berhenti secara mendadak boleh memudaratkan. Elak daripada berbuat demikian. Luangkan masa selama 5 hingga 10 minit bagi
mengembalikan semula pengaliran darah ke jantung untuk proses pengoksigenan semula. Biasanya, selepas sesuatu aktiviti lasak, kemungkinan pengaliran darah ke jantung, otak dan usus tidak mencukupi. Ini menyebabkan berlakunya pengumpulan darah di dalam otot-otot tangan dan kaki yang boleh menambahkan lagi tekanan dan bebanan ke atas jantung. Dengan melakukan gerakan atau senaman ringan sepertimana yang dilakukan semasa memanaskan badan, ini membantu mengembalikan semula darah ke jantung dengan sempurna melalui saluran darah. Aktiviti ini juga boleh mengelakkan daripada mendapat kerengsaan otot pada keesokan harinya yang selalunya menjadi antara faktor utama yang mematikan semangat untuk meneruskan amalan senaman.
Aktiviti 1: Memanaskan badan
i) Pelajar dikehendaki melakukan pergerakan memanaskan badan seperti lari setempat, lompat tali, berjalan pantas dan pelbagai pergerakan regangan.
ii) Aktiviti dilakukan selama 5 hingga 10 minit.
Aktiviti 2: Senaman
i) Pelajar dikehendaki melakukan aktiviti senaman seperti:-
b) Berjoging/berlari
c) Melompat tali
d) Berjalan kaki
e) Senaman lain yang dicadangkan oleh fasilitator
ii) Aktiviti dilakukan sekurang-kurangnya 3 kali seminggu 20 hingga 30 minit setiap kali.
Aktiviti 3: Menyejukkan badan
i) Pelajar dikehendaki melakukan pergerakan regangan untuk menyejukkan badan mengikut panduan/fasilitator.
ii) Aktiviti dilakukan selama 5 hingga 10 minit.
PRINSIP-PRINSIP SENAMAN DAN AKTIVITI FIZIKAL
Objektif
i) Mengetahui prinsip-prinsip senaman dan aktiviti fizikal.
ii) Meningkatkan kemahiran melakukan aktiviti senaman dengan betul.
Prinsip senaman perlu dipatuhi
Apapun bentuk aktiviti senaman yang dipilih dan diamalkan, walaupun semudah berjalan kaki, lakukan mengikut peraturan dan prinsip yang betul. Pelajar bukan sahaja dapat melihat perubahan yang dialami hasil daripada amalan bersenam tetapi dapat menghindari daripada sebarang masalah kecederaan fizikal yang serius. Perkara utama yang perlu diberi perhatian ialah memahami prinsip dan cara bersenam dengan betul.
Untuk memulakan sesuatu program aktiviti senaman, klien mungkin terpaksa menghadapi sedikit kesukaran. Sesuatu yang baru sudah pasti memerlukan pengalaman. Klien perlu berusaha lebih keras dan apabila telah mencapai tahap kecergasan yang baik, usaha untuk mengekalkan tahap tersebut mungkin tidak sesukar dahulu. Cuma apa yang diperlukan sekarang hanyalah komitmen yang tinggi untuk meneruskan amalan tersebut. Untuk membantu peserta terus memiliki minat dan meningkatkan motivasi, prinsipprinsip berikut perlu dipatuhi:
i) Prinsip lebihan beban
Merupakan prinsip yang paling asas. Prinsip ini menyatakan, lakukan “lebih daripada biasa” adalah mustahak untuk mendapatkan faedah daripada amalan senaman. Untuk otot (termasuk otot jantung) menjadi kuat, otot tersebut perlu menerima lebihan beban atau berupaya menghadapi bebanan yang lebih berat daripada biasa. Untuk meningkatkan kelembutan atau fleksibiliti sesuatu otot, otot tersebut perlu diregangkan lebih panjang daripada biasa. Untuk meningkatkan daya tahan otot, otot tersebut hendaklah dilazimkan dengan kekuatan yang lebih lama daripada biasa. Dengan kata lain, untuk meningkatkan tahap kecergasan fizikal serta menikmati faedah kesihatan yang lebih baik, klien perlu melakukan lebih banyak aktiviti dan di luar daripada kebiasaan. Ingat, lakukan secara beransur-ansur mengikut kemampuan dan keupayaan diri.
ii) Prinsip ansur-maju
Prinsip ini menentukan bahawa lebihan beban hendaklah ditingkatkan tidak terlalu lambat atau terlalu cepat jika ingin mendapatkan faedah daripada aktiviti senaman yang dilakukan. Prinsip ini berkait rapat dengan prinsip lebihan beban. Pelajar diminta meningkatkan kemampuan secara beransur-ansur. Badan manusia memerlukan masa untuk disesuaikan dengan sesuatu yang baru.
Tingkatkan intensiti, tambahkan beban secara beransur-ansur dari semasa ke semasa. Prinsip lebihan beban dan prinsip ansur-maju perlu dilakukan serentak mengikut fomula FITT.
F = Frequency:
Kekerapan untuk mendapatkan kesan yang baik daripada sesuatu aktiviti senaman. Dengan kata lain, aktiviti senaman perlu dilakukan secara tekal atau berkala. Jumlah hari seseorang pelajar itu melakukan aktiviti senaman dalam seminggu akan menentukan kekerapan ia bersenam. Mengikut American College of Sport Medicine (ACSM), untuk mendapat faedah yang dikehendaki individu itu disyorkan bersenam sekurang-kurangnya 3 hingga 5 hari seminggu,
dijarakkan dengan baik.
I = Intensity:
Intensiti merupakan bebanan atau sekuat mana pelajar melakukan sesuatu aktiviti senaman. Sesuatu aktiviti senaman itu perlu dilakukan lebih kuat sedikit daripada biasa untuk memberi cabaran secara berterusan kepada mana-mana sistem badan yang hendak disenamkan. Contohnya, jika klien hendak tingkatkan kecergasan jantung untuk prestasi tahap tinggi, ia perlu melakukan aktiviti senaman yang secukup lasak yang dapat meningkat kadar denyutan jantung lebih daripada biasa.
T= Time:
Sesuatu aktiviti senaman itu hendaklah dilakukan dalam jangka masa yang secukupnya untuk
mendapatkan kesan serta faedah yang baik. Biasanya, masa yang perlu diluangkan bagi setiap sesi senaman ialah antara 20 hingga 30 minit untuk mendapatkan faedah yang optima.
T= Type:
Jenis senaman yang dipilih dan dilakukan hendaklah berasaskan komponen kecergasan yang hendak dicapai dan ini akan memberi faedah kesihatan yang berbeza. Contohnya, untuk meningkatkan kecergasan dan daya tahan jantung pelajar perlu melakukan senaman aerobik seperti berjalan kaki atau berjoging. Untuk meningkat kekuatan dan daya tahan otot bahagian atas badan, klien perlu melakukan latihan kekuatan di bahagian tersebut.
iii) Prinsip keterbalikan
Prinsip ini akan menentukan tahap kecergasan pelajarsentiasa dapat dipertahankan. Ini kerana, tahap kecergasan seseorang itu tidak akan berkekalan. Tahap kecergasan tidak boleh disimpan. Jika ingin meningkat dan mengekalkan tahap kecergasan, klien perlu melakukan senaman secara tekal atau berkala. Kajian telah membuktikan bahawa amalan sesuatu aktiviti senaman itu jika ditinggalkan lebih daripada 72 jam, tahap kecergasannya akan mula menurun. Jika ditinggalkan lebih daripada 6 minggu tahap kecergasan akan menurun sehingga 40%. Ini bermakna, usaha harus dilipatgandakan untuk mendapat balik dan mencapai semula tahap kecergasan asalnya.
iv) Prinsip Pengkhususan
Sesuatu jenis aktiviti senaman perlu disesuaikan dengan matlamat senaman. Contohnya, jika matlamat pelajar adalah untuk meningkatkan kekuatan dan daya tahan jantung, klien tidak boleh memilih latihan kekuatan atau berat sebagai aktiviti senaman. Begitu juga sebaliknya, jika klien memilih berjoging sebagai jenis senaman untuk menguatkan otot tangan lengan, ini merupakan satu pilihan yang tidak tepat. Prinsip ini juga berkait rapat dengan prinsip lebihan beban. Lebihan beban adalah khusus untuk bahagian-bahagian badan tertentu. Jika latihan dilakukan untuk kaki, maka otot-otot di bahagian kaki sahaja yang akan menjadi kuat. Oleh yang demikian, dalam merangka program senaman (termasuk cara memanas dan menyejukkan badan) pengkhususan adalah mustahak.
v) Prinsip Keselamatan
Keselamatan semasa melakukan senaman adalah paling utama. Baik dari segi teknik, pakaian (terutama jenis kasut), peralatan tempat senaman, masa senaman, persediaan senaman termasuk prinsip-prinsip lain perlu diberi perhatian dengan serius. Mengikut The American College of Sport Medicine, hampir 50% daripada semua kecederaan sukan boleh dielakkan jika pengamalnya dapat menggunakan teknik, peralatan dan kasut yang betul. Jangan jadikan senaman anda satu kemudaratan yang boleh membawa padah baik dalam masa terdekat mahupun dalam jangka panjang. Juga, pastikan prestasi pelajar perlu berasaskan kemampuan. Jangan cuba bersaing atau meniru orang lain. Setiap individu adalah berlainan segi sifat dan kemampuan. Lakukan mengikut kebolehan dan keupayaan sendiri. Sentiasa tanamkan dalam minda bahawa dalam senaman tidak ada jalan pintas.
KESELAMATAN SEMASA MELAKUKAN SENAMAN DAN AKTIVITI FIZIKAL
Objektif
i) Pengetahuan berkaitan kepentingan keselamatan dalam melakukan senaman.
ii) Mengamalkan prinsip keselamatan seperti mana yang disarankan.
iii) Mencegah kecederaan semasa bersenam.
Panduan melakukan senaman dengan betul seperti:-
i) Memanaskan badan, melakukan regangan sebelum bersenam dan menyejukkan badan selepas
bersenam.
ii) Pemakaian yang sesuai.
• Gunakan kasut yang sesuai.
• Elakkan memakai selipar dan kasut kulit.
• Memakai pakaian yang sesuai dan selesa.
• Elakkan daripada memakai jaket atau pakaian getah (wind breaker).
iii) Lakukan senaman 2 jam selepas makan.
• Dapat menghindari daripada rasa loya, muntah dan kekenjangan perut.
• Dapat menghindari daripada timbulnya masalah kepada sistem penghadaman dan
pernafasan.
• Walau bagaimanapun, kumpulan sasar masih boleh mengambil makanan ringan seperti kuih
atau biskut (umpamanya minum petang).
iv) Minum air secukupnya.
• Pastikan minum air secukupnya sebelum melakukan senaman (sebaik baiknya air kosong).
• Galakkan minum air antara 6 hingga 8 gelas.
• Minum air pada setiap 15 hingga 20 minit, terutamanya ketika cuaca panas.
• Elakkan minum air berkarbonat/bergas di dalam tin atau botol.
• Minum air kosong sebelum, semasa dan selepas bersenam.
v) Petua-petua lain senaman.
• Jangan lakukan aktiviti di tempat yang tidak selamat. Uni
• Jangan bersenam jika tidak sihat, dapatkan nasihat doktor terlebih dahulu.
• Jangan bersenam ketika cuaca sangat panas, sangat sejuk, terlalu gelap atau kadar
pencemaran udara tinggi.
• Jangan gunakan peralatan yang rosak.
• Berhenti segera jika terasa semput atau sakit dada ketika bersenam.
• Jangan terus mandi selepas bersenam kerana ini akan mengganggu system badan. Tunggu
hingga badan telah sejuk dan peluh di badan telah kering, mandilah dengan air biasa.
SEPANJANG PROGRAM HEALTHY LIFESTYLE
SEPANJANG PROGRAM HEALTHY LIFESTYLE
Best T-Shirt with Zinc Oxide and Titanium dioxide sunscreen
ReplyDeleteOur zinc used ford edge titanium oxide sunscreen titanium grey is the leatherman charge titanium perfect combination to mask off acne, but only when ion titanium hair color the skin is sensitive enough to calcify. titanium strength